PBTM 30 peratus bekas tentera belum daftar sebagai pengundi

sinarharian
15 November 2012
KUALA LUMPUR - Kira-kira 30 peratus bekas tentera dikenal pasti masih belum mendaftar sebagai pengundi, kata Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Datuk Muhammad Abdul Ghani.
  
Beliau berkata ketika ini terdapat 350,000 bekas tentera sama ada yang berpencen atau tidak di seluruh negara dan seharusnya mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi segera berbuat demikian.
  
"Ini kerana apabila seseorang anggota tentera itu berhenti, mereka tidak boleh lagi mengundi dalam kem," katanya kepada Bernama hari ini.
  
Beliau berkata Kementerian Pertahanan sewajarnya memainkan peranan mengingatkan bekas tentera agar mendaftar sebagai pemilih sebaik bertukar status kepada orang awam.
  
Katanya kerajaan menghargai perjuangan bekas tentera dengan pemberian pelbagai imbuhan dan insentif, justeru bekas tentera perlu menjaga imej negara demi kesinambungan perjuangan mereka.

"Tentera ini tunggu arahan. Jadi saya saran wakil rakyat supaya ajak bekas tentera minum, bersembang mengenai politik kerana bekas tentera ini masih tanamkan budaya disiplin yang kuat.
  
"Orang politik kena damping mereka supaya bersama-sama memberi sokongan agar perjuangan bekas tentera dihargai dan tidak disisihkan.
  
"Ramai bekas tentera masuk politik, jadi ahli politik, jadi ahli parlimen termasuk anak bekas tentera pun ada. Kita dapat lihat contoh yang ada ketika ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim," katanya. - Bernama

Pengundi terkejut rekod JPN kata dia sudah mati

Harakahdaily, 30 Mei 2012

(Gambar: Carian di laman web SPR menggunakan nombor kad pengenalan 691130 01 5063 menunjukkan Record not found)
KUALA LUMPUR: Seorang pengundi di Dun Kuala Kubu Baharu Parlimen Hulu Selangor terkejut apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan beliau sudah meninggal dunia.

Mohamad Diah Arjan berkata, beliau sangat hairan apabila semakan yang dibuat di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan " Record not found" sedangkan namanya ada dalam sistem semakan di pejabat pos Kuala Kubu Baharu.
Selepas membuat semakan di pejabat pos, beliau yang bernombor kad pengenalan 691130 01 5063 membuat semakan di JPN Kuala Kubu Baharu dan pegawai bertugas memaklumkan bahawa ada menerima laporan berhubung kematian beliau tetapi belum disahkan lagi.

"Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Saya bertanya bagaimana ia boleh berlaku dan pegawai bertugas memaklumkan ada kesilapan di JPN Putrajaya.

"Selepas seminggu saya datang semula ke JPN Kuala Kubu Baharu dan status telah dibetulkan, bahawa saya masih hidup dan sihat walafiat," kata beliau dalam aduan yang dihantar kepada Harakahdaily hari ini.

Dalam jawapan kepada aduan yang dibuat beliau sebelum ini, SPR memaklumkan semakan telah dibuat menerusi pangkalan data JPN ke atas nombor kad pengenalan 691130 01 5063 dan didapati bahawa status rekod Mohamad Diah adalah telah meninggal dunia.

Sehubungan itu, SPR meminta Mohamad Diah membuat pembetulan maklumat di JPN dan memaklumkannya kepada SPR untuk kemasukan semula rekod beliau sebagai pemilih.

Namun ujarnya, semakan yang dibuat di laman web SPR pada jam 1.40 pagi tadi tetap mendapati "record not found".

Justeru beliau menggesa SPR mengambil tindakan segera bagi mengatasi kepincangan itu supaya beliau dapat mengundi pada pilihan raya umum ke-13.

"Saya harap pihak SPR dapat mengambil tindakan segera supaya saya dapat mengundi dalam PRU 13.

"Jangan kesilapan yang dibuat oleh JPN dan SPR menyebabkan saya tidak boleh mengundi dalam PRU 13.Satu kezaliman kepada rakyat biasa seperti saya," katanya.
691130 01 5063
template joomla